Penantian yang membahagiakan


" P e n a n t i a n   y a n g   m e m b a h a g i a k a n " 
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ 
Sebuah kisah pengorbanan dalam kehidupan seorang insan..




* Penulis : Afiqah Safwa
* Karya dan nukilan ini adalah rekaan penulis. Segala persamaan adalah kebetulan.
* Kami dedikasikan karya ini buat setiap insan yang bergelar "Cikgu"




: : Keringat di bumi asing : : Ditulis pada 21/04/2011




April 1985. Malik terlalu penat hingga bahang yang menghinggap tubuh badannya bagai tidak terasa, cepat dia berdengkur sebaik berbaring di atas lantai rumah kongsi yang disediakan oleh majikannya. Panas terik diluar sana tidak cukup untuk merimaskannya. Halim, Kamal dan Zaki ikut sama dengan Malik merehatkan diri sebentar, bagi mereka cukuplah dapat melelapkan mata walau sekejap. Selang setengah jam kemudian, seorang demi seorang dari mereka bangun dan bersiap untuk bekerja semula. Begitulah rutin mereka berempat seharian di tapak pembinaan itu. Malik, Halim , Kamal dan Zaki bekerja sebagai buruh binaan di Singapura, Halim dan Kamal berasal dari Pahang, Zaki pula dari Negeri Sembilan, manakala Malik, anak jati negeri Johor, masing-masing merupakan orang kampung yang cuba mencari nafkah untuk keluarga mereka di kampung halaman. Antara mereka berempat, hanya Malik yang sudah berkahwin. Malik mempunyai dua orang anak. Bukan kerana mereka sengaja berjauhan dengan keluarga masing-masing, tetapi tuntutan nafkah terhadap keluarga yang wajib mereka penuhi adalah penyebab mereka merantau ke bumi asing. Kalau bekerja di kampung, hasilnya tidak seberapa, tapi kalau bekerja di negeri temasik ini upahnya lumayan. Dapatlah Malik menyara isteri dan anak-anaknya setiap bulan. Walaupun terpaksa berjauhan, segala perasaan rindu dan bimbang terpaksa dia pendamkan. "biarlah aku rindu dan bimbang sekarang, aku tak nak anak-anak aku membesar seperti aku, aku tak nak anak-anak aku susah seperti aku!" getus hati Malik bila datang perasaan rindu pada isteri dan anak-anaknya. Mereka tahu dan amat sedar, sedar bahawa keringat mereka yang jatuh di bumi asing ini tinggi harganya, dan harga itulah yang Malik harapkan dapat membayar segala keperluan zahir anak-anaknya untuk membesar. Malik mahu anak-anaknya berjaya dalam pelajaran, membesar tanpa kepayahan dalam kemiskinan seperti dirinya.
  
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ 

: : Wajah-wajah permata : : Ditulis pada 22/04/2011




Mendung, Jam 7.26 pagi, Hari Isnin. Ariffin bergegas menuruni anak tangga rumah sewanya. Hari ini dia agak kelewatan ke tempat kerja, malam tadi dia baru pulang dari rumah kedua orang tuanya di Kampung Parit Bunga, Muar. Kepenatan dalam perjalanan menaiki bas dari Muar ke Kota Tinggi masih belum hilang dari tubuh badan anak muda ini. Namun semangat Ariffin untuk mendidik anak bangsa amat tebal dalam jiwanya. Meskipun baru berusia dua puluh satu tahun, dia cukup matang untuk memastikan hidupnya berada pada landasan dan prinsip yang betul. Darah yang mengalir dalam tubuhnya adalah warisan dari dua orang pendidik. Ayahnya seorang imam kampung yang dulunya seorang Ustaz. manakala ibunya juga seorang guru. Kini setelah tiga tahun dia tamat pengajian di sebuah Maktab Perguruan sejak 1983, Ariffin ditempatkan di sebuah sekolah di daerah Kota Tinggi. Memang itulah cita-citanya sejak kecil, mahu menjadi seorang pendidik seperti ayahanda dan ibundanya yang tercinta. Hari ini sesi persekolahan baru dibuka, hari ini juga murid-murid akan memulakan sesi persekolahan bagi tahun 1987, dan hari ini juga merupakan hari pertama  Ariffin memulakan tugas rasminya mendidik anak bangsa. Tepat Jam 7.55 pagi, Ariffin sudah masuk ke perkarangan Sekolah Kebangsaan Kampung Mawai, Kota Tinggi. Terus dia ke tapak perhimpunan selepas meletakkan beg galasnya di bilik guru. Perhimpunan pertama diadakan pada pagi ini. Murid-murid berbaris mengikut susunan kelas. Ariffin melangkah laju mendapatkan guru-guru lain yang berdiri di hadapan barisan murid-murid tersebut. Masih sempat dia mengimbau zaman persekolahannya dulu disaat itu. "kalau dulu aku adalah dikalangan murid yang berbaris menghadap sekalian guru-guru, kini sampai masanya aku pula yang berdiri dihadapan wajah-wajah permata bangsa dan negara.." terpacul kata-kata separuh berbisik dari mulut Ariffin kepada dirinya sendiri.


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ 

: : Sayu dalam ketabahan : : Ditulis pada 23/04/2011




Sayup tetapi jelas suara azan berkumandang subuh itu. Fatimah sudah pun terjaga dari tidurnya satu jam yang lalu, sibuk menyiapkan bungkusan-bungkusan nasi lemak yang akan di hantar ke warung Mak Kiah nanti. Sempat juga dia menjenguk ke bilik anak perempuannya Hasnita. "nita.. bangun nita.. dah subuh ni, gi kejutkan adik kau sekali.." Fatimah mengejutkan anaknya itu dari tidur. Terkebil-kebil mata Hasnita sambil dia cuba bangun dari tidurnya, cahaya lampu pam dari luar bilik segera menyilaukan matanya. Pagi itu sejuk sekali dirasakannya, bila mengenangkan air kolah yang menyejukkan, bertambah malas perasaannya untuk bangun, tapi bila teringatkan kawan-kawan sekelas dan sesi persekolahan yang baru, semangatnya tiba-tiba datang. Hasnita cuba bangun sambil menguap, berdiri dan terus ke bilik ibunya untuk mengejutkan adiknya Syukri. Dia perlu menyiapkan adiknya untuk ke sekolah sepertinya, dan hari ini hari pertama syukri belajar di sekolah yang sama dengan Hasnita. Bezanya Hasnita kini sudah di darjah lima, manakala Syukri baru masuk darjah satu. Mudah sungguh Hasnita mengejutkan adiknya itu, kerana Syukri juga sama sepertinya, ada suatu perasaan gembira untuk memulakan sesi persekolahan mereka, walaupun pada awalnya Syukri berasa takut-takut untuk bersekolah sebelum ini, namun Fatimah pandai memujuk Syukri. Baju Uniform putih, seluar biru, beg sandang dan kasut sekolah yang baru menggamit hati Syukri untuk ke sekolah seperti kakaknya. Selesai sahaja solat subuh, Fatimah terus ke dapur menyiapkan sarapan untuk anak-anaknya. Dihidangkan dua pinggan nasi lemak dan dituangkan air kopi ke dalam cawan. Sementara menunggu dua orang anaknya itu bersiap, Fatimah memasukkan pula bungkusan-bungkusan nasi lemak ke dalam bakul. "28.. 29.. 30..", dia membilang jumlah bungkusan nasi lemak yang akan dijualnya hari itu. "mak.. mak.. hensem tak?"  tiba-tiba Syukri bertanyakan soalan kepada Fatimah sambil mendepakan tangannya. Fatimah senyum sambil mengatakan yang anak bujangnya itu sungguh tampan. Kemas, bersikat rapi dan berbedak muka Syukri pagi itu. "Pandai Nita siapkan adik.." puji Fatimah kepada Hasnita sebaik Hasnita duduk bersimpuh menghadap sarapan yang ibunya telah siapkan. "terima kasih mak.." jawab Hasnita. Memang Hasnita seorang anak dan pelajar yang pandai dan rajin, pada usia sebegitu dia sudah terbiasa melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas dan sebagainya. Tiada masalah baginya untuk menyiapkan adiknya untuk sama-sama ke sekolah dengannya. Tiba-tiba kedengaran suara anak kecil menangis dari bilik ibunya, bergegas ibunya mendapatkan anak kecil itu. Setelah selesai bersarapan, Hasnita segera ke muka pintu rumah sambil menggalas beg sekolahnya. Menyarung dan mengikat tali kasut sekolah barunya itu. Syukri terkocoh-kocoh mengikut langkah kakaknya, segera Hasnita memakaikan kasut ke kaki adiknya. Sambil mengendong bayinya yang baru berusia 6 bulan, Fatimah tergelak melihat keletah Hasnita dan Syukri yang seperti tidak sabar-sabar hendak ke sekolah. Perlahan dia menuju ke arah mereka, berhenti di muka pintu, menunduk sambil menyambut salam dan ciuman tangan dari anak-anaknya sebelum mereka berjalan kaki ke sekolah. Pagi itu hatinya terusik, sayu dalam ketabahan bila melihat dua orang anaknya itu berjalan berpimpin tangan menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Mawai. Sayu kerana Hasnita dan Syukri tidak dapat bersalaman dengan ayah mereka. Hatinya terusik bila mengenangkan suaminya Malik tidak dapat melihat keletah anak-anak mereka pagi itu. "tak mengapalah bang, abang perlu mencari rezeki untuk kami, biar imah uruskan anak-anak di sini". Bisik hati Fatimah cuba menenangkan dirinya sendiri. Terbayang-bayang wajah suaminya Malik yang dirinduinya, kini jauh di negeri orang mencari nafkah untuk mereka sekeluarga.


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ 


: : Racun dan penawar : : Ditulis pada 24/04/2011




Dari jauh Pak Seman kelihatan terhencut-hencut, mukanya berkerut seakan-akan manahan sakit. Matahari tegak berdiri di atas kepala, panas, terik dan mengigit-gigit kulit tua Pak Seman yang sudah berusia lebih separuh abad. Kedua-dua belah tangannya menjijit berat bekas plastik. Meskipun umurnya sudah lanjut, namun dia seorang tua yang cekal, punya prinsip yang tegas, dan dia tidak akan sesekali meminta pertolongan orang lain jika tidak betul-betul memerlukan. Walaupun begitu dia seorang yang pemurah, baik hati dan suka menolong orang lain yang di dalam kesusahan. Masa mudanya dihabiskan untuk berkhidmat kepada negara, Pak Seman mula berkhidmat sebagai SC (Special Constable) sejak berusia tujuh belas tahun, dua tahun selepas Jepun menyerah kalah dia mula menyertai pasukan polis. Terlalu banyak perit getir yang dilaluinya semasa membantu mempertahankan tanahair dari cengkaman komunis sehingga selepas negara mendapat kemerdekaan. Peluru yang menembusi betis dan meretakkan tulang ketingnya merupakan satu kenangan yang berparut baginya. Sehinggalah dia pencen 9 tahun yang lalu, parut dan luka itu juga yang menyukarkan pergerakannya sejak kebelakangan ini. Namun kini dia puas dan selesa dengan kehidupan di kampung, memang asal Pak Seman orang kampung, baginya biarlah dihabiskan sisa-sisa hidupnya di kampung bersama-sama isterinya Mak Kiah dan satu-satunya anak mereka, Zalina. Dari dalam warung kecil di persimpangan jalan Mawai-Mersing, kedengaran suara Mak Kiah memanggil anaknya Zalina. "lina.. lina.. pegi tolong ayah kau angkat barang belanja tu lina.." nyaring suara Mak Kiah menyuruh anak perempuannya itu membantu suaminya bila mana Pak Seman semakin menghampiri warung mereka. "kenapalah bas tu berenti jauh sangat bapaknya?" tanya mak Kiah kepada suaminya sebaik Pak Seman duduk di kerusi. "aku tertidur tadi dlm bas, nasib baiklah ada si Ah Meng tadi kejutkan aku" jawab Pak Seman. Hari itu hari Sabtu, memang rutin Pak Seman akan membeli barang-barang keperluan dapur dan warung mereka pada setiap hari sabtu di bandar Kota Tinggi. Zalina yang sedari tadi mengeluarkan barang-barang yang baru dibeli ayahnya seperti tercari-cari sesuatu, namun dia tidak menjumpainya. "ayah.. ayah belikan tak majalah yang lina pesan.." Zalina bertanya manja pada ayahnya, wajahnya bagai meraih simpati sambil dikemam-kemam bibirnya mengharapkan jawapan dari ayahnya. "ada sayang.. ayah tk lupa.. cuba lina cari betul-betul.." jawab Pak Seman pada anak kesayangannya itu. "takda.. lina dah cari tkda pon.. entah-ntah ayah lupa ehh?.." pantas Zalina menyahut kata-kata ayahnya. "ohh kalau camtu ayah tercicir la majalah tu tadi.. " Pak Seman menjawab sinis pertanyaan anaknya sambil tersenyum menjeling kepada Mak Kiah yang dari tadi sibuk menyusun barang-barang dapur yang baru dibeli. Zalina diam, menundukkan wajahnya yang mencebik bibir seakan akur dengan jawapan ayahnya, di dalam hati kecilnya sedikit berbuku, mengenangkan majalah komik kesukaannya yang dicicirkan ayahnya. "ni haa.. ayah simpan dalam beg ayah ni.." Cepat Zalina mengangkat mukanya berpaling kepada ayahnya, lebar senyumannya, mendapatkan ayahnya untuk mengambil majalah kesukaannya itu sambil separuh menjerit kepada ayahnya, "haaa.. ayah tipu lina...". Tengahari yang terik, bertukar ceria di dalam warung kecil milik Pak Seman dan Mak Kiah yang tiada berpelanggan itu. Yang kedengaran hanya gelak tawa mereka bertiga. Gurauan Pak Seman terhadap anaknya Zalina memang sudah diduga Mak Kiah. Dia faham benar dengan perangai suaminya yang selalu sahaja berjenaka. lebih-lebih lagi selepas hadirnya Zalina tujuh belas tahun dahulu dalam hidup mereka. Itulah satu-satunya anak yang mereka ada. Ditatang bagai minyak yang penuh. Dia lah racun, dia lah penawarnya. Dibelai dengan kasih sayang dan dididik dengan penuh tanggungjawab. Bagi mereka, Zalina lah satu-satunya pemberian Allah yang tidak ternilai dengan harta benda, kepada mereka berdua. 


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ 

: : Rindu yang mekar : : Ditulis pada 26/04/2011






Enam bulan telah berlalu sejak Malik kali terakhir pulang ke kampung halamannya. Kini dia berpeluang untuk bertemu keluarganya yang tercinta. Kalau dulu dia berpeluang balik bercuti hanya untuk tiga hari dipenghujung musim tengkujuh tahun lepas, kini dia mendapat cuti yang lama, lama dan mungkin jua dia dan rakan-rakannya yang lain tidak akan kembali bekerja semula di negeri Temasik itu. Malik, Halim, Kamal dan Zaki ceria dalam gelisah, ceria kerana masing-masing sudah terlalu rindukan keluarga dan kampung halaman. Maklumlah, kini Kamal, Halim dan Zaki juga sudah mendirikan rumah tangga. Hanya Zaki yang masih belum mempunyai cahaya mata. Dan, mereka gelisah memikirkan hari-hari mendatang tanpa pekerjaan. Kata-kata penyelia di tapak projek perumahan di Woodlands kelmarin tentang peluang khidmat mereka mungkin akan diperlukan lagi pada masa akan datang, tidak menjanjikan apa-apa bagi mereka. Hanya doa dan harapan yang mereka panjatkan supaya masih ada lagi peluang untuk mereka mencari rezeki lumayan di negeri asing itu. Dua tahun lebih mereka bersama membanting tulang di rantau orang, hari ini empat orang sahabat kini berpisah buat masa yang lama, dan mungkin tidak lagi akan bertemu, mereka pulang ke kampung halaman masing-masing. Petang khamis yang redup menyambut kepulangan Malik di persimpangan jalan Mawai - Mersing.  Sejak dari dalam bas tadi Malik seperti tidak sabar hendak bertemu dengan isteri dan anak-anaknya. Terasa mekar rindu yang dipendam di dalam hatinya. Wajah-wajah isteri dan anak-anaknya bersilih ganti. Tangannya sedari tadi memeluk erat bungkusan hadiah buat Fatimah, Hasnita, Syukri dan anak bongsunya Hasnida yang kini berusia setahun. "Assalamualaikum Pak Seman.. apa khabar?" Malik memberi salam kepada Pak Seman sebaik menghampiri warung Pak Seman, yang kebetulan sedang melayan pelanggannya. "Wa'alaikumsalam, engko Malik.. sihat alhamdulillah.. engko pulak apa khabar?, lama bercuti kali ni?" Pak Seman bertanya semula kepada Malik. "sihat alhamdulillah.. gitulah nampaknya Pak Seman.." ringkas jawab Malik kepada Pak Seman. Hatinya kembali gelisah bila di aju persoalan sebegitu dari Pak Seman, namun kerinduan pada keluarganya mengatasi perasaan gundahnya itu. "tak singgah minum dulu Malik?" sapa Mak Kiah pula kepada Malik. "takperlah Mak Kiah, saya nak terus balik ke rumah ni.. " Meleret Malik tersenyum sambil menjawab perlawaan Mak Kiah. Hatinya tambah bergelojak bila terpandangkan atap rumahnya yang tidak jauh dari warung pak Seman dan Mak Kiah. Kakinya laju melangkah menghala ke halaman rumah papan miliknya. Suasana sepi bagai tiada penghuni. Pintu rumah tertutup rapat. "kenapa senyap je rumah aku ni, ke mana perginya bini ngan anak-anak aku?" cetus hati Malik dalam kebimbangan. Malik mula kehairanan. Semakin laju dia mengorak langkah. Hati yang mekar merindukan isteri dan anak-anaknya bertukar cemas dengan tidak semena-mena. 


sambungan rindu yang mekar - ditulis pada 27/04/2011

Tiba-tiba terdengar jeritan suara anak-anak kecil dari jauh. "ayah.. ayah..", anak kecil itu menjerit-jerit memanggil ayahnya dari arah belakang Malik, senyum terukir di wajah Malik bila mana dia menoleh dan melihat anak-anaknya Hasnita dan Syukri berlari mendapatkannya. Malik mencium dan memeluk erat anak-anaknya sebaik mendakap mereka berdua. Di hujung denai rumah Pak Imam, kelihatan Fatimah berjalan ke arahnya sambil mendukung anak bongsu mereka. Senyuman turut terukir di wajahnya. Ceria dan gembira melihat kepulangan suaminya yang tercinta. hilang sudah rasa penat dan lenguh kakinya berjalan ke kedai runcit Pakcik Samad tadi. Mekar hatinya semekar kerinduan Malik padanya dan anak-anak mereka. Enam bulan yang berlalu bagaikan bertahun baginya menanti kepulangan suaminya itu. Kini hatinya berbunga indah. Kerana dia tahu, kali ini Malik akan bercuti lama. Surat yang Malik kirimkan tiga minggu lalu sudah cukup kuat baginya untuk berharap begitu.


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ 

: : Hati yang terusik : : Ditulis pada 27/04/2011






Lagu "Hapuslah airmatamu" dendangan Syarifah Aini yang sedang berkumandang di corong radio buruk milik cikgu Hasyim membuai-buai perasaan Ariffin. Dia yang sejak dari tadi bersandar di dinding rumah seakan mengelamun jauh. Matanya menunduk memandang lantai usang yang berlapikkan tikar mengkuang layu. Dalam fikirannya terkenang ayah dan ibunya di kampung. Juga memikirkan wajah gadis belasan tahun yang berjaya mencuit hati kelakiannya. keduanya bersilih ganti. "kau menung apa tu ipin?, berangan jauh nampaknya.. ke ko teringatkan gadis tu?" sapa Hasyim pada Ariffin sambil menyisir rambut lurusnya. Ariffin seakan terkejut, sekilas dia memandang cikgu Hasyim rakan serumahnya itu, "ehh takdala.." jawab Ariffin sebelum kembali menundukkan mukanya kerana malu, seakan ingin memalingkan mukanya dari Hasyim yang dapat membaca kata hatinya. Manakan tidak, memang benar tekaan Hasyim, memang dia sedang mengelamun pada wajah ayu seorang gadis pingitan. Ingin benar dia mengenali lebih dekat dengan gadis itu. Tetapi dia hilang punca, di mana gadis itu tinggal pun dia tidak tahu. Masih terngiang-ngiang suara gadis itu di telinga Ariffin, masih terbayang jelas wajah putih berseri gadis itu di fikirannya. Mereka kali pertama bertentang mata di kantin sekolah tempat Ariffin dan cikgu Hasyim mengajar. Memang Ariffin tidak menyangka yang hari itu dia akan disapa oleh seorang gadis yang berjaya mengetuk hatinya. Memang hati Ariffin belum pernah terusik untuk mencintai mana-mana gadis sebelum ini. Kini sudah seminggu berlalu sejak pertemuan itu. Sungguh pun gadis itu hanya bertanyakan arah ke bilik guru besar, namun Ariffin seolah terpukau dengan suara lunak dan wajah gadis itu. Itulah kali pertama dan kali terakhir Ariffin melihatnya. Namun hatinya terus berbunga rindu. Hinggakan cikgu Hasyim perasan dengan perubahan sikapnya sejak akhir-akhir ini. Selepas dia menceritakan kepada rakan serumahnya itu, barulah cikgu Hasyim faham yang Ariffin sedang angau cinta. Bagi Hasyim perasaan sebegitu adalah normal bagi lelaki bujang seperti mereka. Dia juga seperti Ariffin semasa kali pertama bertemu dengan tunangnya dulu. Bezanya dia ditunangkan oleh kedua orang tuanya. Namun Hasyim cukup bertuah kerana ditunangkan dengan gadis yang menepati impiannya untuk dijadikan isteri. "ehh kau tak nak siap-siap ker pin?.. kata nak gi minum tadi?.." Hasyim bertanya lagi pada Ariffin bila dilihat kawannya itu masih bersandar di dinding rumah. "ehhh lupa plak aku.. " Ariffin separuh tergelak menjawab pertanyaan Hasyim. Bingkas dia bangun masuk ke bilik tidur menukar pakaiannya. "kita dah siap-siap dia boleh sambung angau.. isk..isk..isk.. " Hasyim separuh membebel pada Ariffin sambil meniru gaya pelakon S.Samsudin. Suka benar Hasyim dengan lakonan pelakon itu. Sangat kena dengan perangainya yang suka berjenaka. Dia juga disenangi orang kampung. Sudah dua tahun dia menjadi guru di Sekolah Rendah Kampung Mawai. Berkelana di bumi Johor menabur bakti. Mujurlah Ariffin tinggal serumah dengannya sejak tujuh bulan yang lalu, tidaklah dia kebosanan bila hari cuti. Umurnya tiga tahun lebih tua dari Ariffin. Pagi ini mereka berdua bersarapan di warung Pak Seman dan Mak Kiah. Ariffin dan Hasyim memesan nasi lemak dan air teh sebagai sarapan mereka. Sambil menunggu air dan nasi lemak dihidangkan, Hasyim dan Ariffin membelek-belek surat khabar di hadapan mereka. Khusyuk Ariffin membacanya, memang begitulah tabiatnya ketika membaca sesuatu. Di dapur warung Pak Seman, Zalina sibuk membantu ibunya memasak. Sedang dia sibuk memotong bawang, Mak Kiah menyuruhnya menghantar air minuman yang dipesan dari dua orang pelanggan mereka tadi. Perlahan dia berjalan membawa minuman itu ke arah Ariffin dan Hasyim. "Abang Hasyim.. ni airnya.. nak letak mana nie?.." Tanya Zalina pada Hasyim. Tercegat Zalina berdiri di depan Hasyim dan Ariffin sambil menunggu diberikan ruang untuknya meletakkan gelas di atas meja kecil warung ayah dan ibunya. Hamparan surat khabar yang dibaca Hasyim dan Ariffin menyukarkan tugas Zalina. Ariffin terhenti membaca, suara Zalina mematikan tumpuannya pada surat khabar di depannya. Suara itulah yang dia angaukan. Suara itu seakan milik gadis berwajah kacukan melayu-cina yang mengetuk pintu hatinya seminggu lalu. 


sambungan hati yang terusik - ditulis pada 29/04/2011


Ariffin terpaku bila mendongak dan menjeling ke arah Zalina yang betul-betul berdiri di sebelahnya. Masa bagaikan terhenti baginya ketika itu. Itulah wajah yang dia rindukan, itulah suara yang di dambakan selama seminggu ini. "ermm sori lina.." Cikgu Hasyim menjawab pertanyaan Zalina sambil segera mengalihkan surat khabar di depannya. Zalina meletakkan dua gelas teh di atas meja, dan Ariffin masih terpaku memandang Zalina. Sedikit pun kelakuan Ariffin tidak disedari Zalina, namun Hasyim menyedari perbuatan kawannya itu. Zalina berlalu masuk ke dalam warung tanpa sepatah kata, tidak perasan dengan kehadiran Ariffin di warung milik ayah dan ibunya, tidak sedar bahawa pemuda yang datang bersama-sama cikgu Hasyim pada pagi itu adalah cikgu yang sama ditegur olehnya di Sekolah seminggu lalu. "pin.. apahal dengan ko ni? dok melangut cam rimau nampak kijang plak?, kat rumah ko termenung.. kat sini tenung-tenung anak dara orang plak?.." panjang Hasyim bertanya sambil membebel pada Ariffin. Terkedu Ariffin mendengar kata-kata dari cikgu Hasyim. dia sendiri bagai tidak sedar apa yang di buatnya sejak dari tadi. Kelakuannya tidak ubah seperti sedang berkhayal bila saja terpadang wajah Zalina. Terbit senyuman pada bibirnya menampakkan barisan gigi depannya yang putih dan rapi. Sekali lagi Ariffin berasa malu pada Hasyim. Jelas kelakuannya diperhatikan rakannya itu. "Syim.. aku rasa aku dah jumpa lah gadis yang aku ceritakan pada kau tempoh hari.." Kata Ariffin pada Hasyim, cuba memberitahu rakannya itu mengapa dia berkelakuan begitu tadi. "aku yakin syim, dia lah orangnya.." Ariffin cuba meyakinkan Hasyim yang kebingungan dan masih tidak dapat menangkap maksud kata-kata Ariffin sebentar tadi. "maksud ko? anak Pak Seman tadi tu?" tanya Hasyim separuh berbisik pula pada Ariffin. Ariffin mengangguk-angguk kepalanya, dicapainya gelas teh di depannya, dihirupnya perlahan. Di wajahnya kini seolah terpancar ceria. Ariffin seolah-olah puas dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Hatinya berbunga dan mekar setelah seminggu memendam rasa. Rakannya Hasyim masih kebingungan, kepastian dan keyakinan Ariffin kini menjadi persoalan pula difikirannya. 


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~  


: : Hilangnya gerimis malam  : : Ditulis pada 29/04/2011






Sudah seminggu lebih Malik pulang ke kampung. Malam itu dia tidak dapat melelapkan matanya. Larut malam yang hening terlalu panjang baginya. Desiran angin dan rintik-rintik gerimis di luar rumahnya menambahkan perasaan bimbang di hatinya. Sejak petang tadi lagi fikirannya terganggu. Dirinya bingung bila memikirkan soal kerja. Dia tidak betah duduk menganggur di rumah. Dia tidak mahu duit simpanannya hasil bekerja di Singapura habis begitu sahaja. Malik tekad untuk bekerja. Mencari rezeki untuk isteri dan anak-anaknya. Tapi tangan dan kakinya bagai diikat rapi. Manakan tidak, amat sukar baginya untuk mendapatkan kerja. Lebih-lebih lagi dia tidak punya apa-apa kelulusan, hanya tahu menulis dan membaca. Malik tidak punya tanah kebun untuk dikerjakan. Hanya rumahnya itu sajalah yang dia ada. Fikirannya semakin kusut memikirkan hari-hari esok yang mendatang. Isterinya Fatimah sudah lama dibuai mimpi. Lena berselimut menghadap anak bongsu mereka. Dalam kesuraman cahaya pelita yang memenuhi ruang kamar mereka, Hati Malik menjadi sayu bila memandang wajah isterinya itu. "maafkan abg mah, abang masih belum dapat membahagiakan mah.." Malik hanya mampu berkata-kata di dalam hati. Dia tidak dapat menahan sebak, sebak bila mengingatkan pengorbanan isterinya yang sanggup berkahwin dengannya hanya atas dasar cinta dan pengorbanan. Sebak bila memikirkan yang dia masih belum dapat memberikan kesenangan kepada isterinya. Sebak bila mengenangkan pengorbanan dan kesanggupan isterinya itu yang terpaksa hidup dalam kesusahan bersamanya selama ini. Perkahwinan mereka dua belas tahun dahulu tidak mendapat restu dari kedua orang tua Fatimah. Namun jodoh mereka kuat walaupun akhirnya Fatimah dibuang keluarga setelah bernikah dengan Malik. Hujan semakin lebat di luar rumah mereka, rintik-rintik hujan semakin rancak melagukan irama suram di malam itu. Malik akhirnya terpejam, terlelap membawa bingkisan kesedihan dalam tidur malamnya.
sambungan hati yang terusik - ditulis pada 25/05/2012

Suasana di sekolah pada pagi itu agak meriah dari kebiasaan. Program sukaneka yang dianjurkan pihak sekolah Rendah kebangsaan Mawai mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan murid dan ibu bapa, kebanyakkan murid-murid yang bersekolah di situ datang dari kampung-kampung berdekatan seperti Kampung Mawai baru dan kampung Hj Hashim. Wajah-wajah ceria para pelajar yang mengambil bahagian di sukaneka itu menghiasi pagi sabtu yang nyaman. Di hujung padang sekolah, Zalina sibuk membetulkan kedudukan topi di kepala Syukri. Syukri sepertinya tidak suka dipakaikan penutup kepala yang merimaskannya itu. Zalina tersenyum, lalu cuba memujuk Syukri. Fatimah yang sejak tadi menguyah sesuatu di dalam mulutnya, turut tersenyum dan tergelak melihat keletah anaknya syukri. Sesekali anak bongsunya Hasnida yang dalam pelukannya, merengek-rengek seolah-olah ingin turut serta dengan abang dan kakaknya bersukaneka. tidak jauh dari mereka berempat, kelihatan Hasnita berlari anak menuju ke arah mereka, sambil melambai-lambai tangan dengan senyuman girang jelas terpancar di wajahnya. Dia tidak sabar untuk memberitahu ibu dan jirannya kak Zalina, yang dia akan masuk ke peringkat akhir acara lari 100m sebentar lagi. "ibu.. nita dapat lumba lagi", terang hasnita sebaik mendekati Zalina dan Fatimah. "waahh nita dapat lumba lagi yer.. ok nanti lari laju-laju tau.. kalau nita menang.. nanti akak belanja nita aiskrim!" Zalina cuba menaikkan semangat Hasnita. "ok.. kak lina janji tau.." Hasnita cuba mendapatkan kepastian dari Zalina, jirannya yang sudah dianggap seperti kakaknya sendiri. 


~ nantikan sambungan episod Hilangnya gerimis malam mlm ini. Episod seterusnya "Hati mereka bertaut kasih" akan di upload esok 26/3/2011


* Dapatkah Malik mendapatkan pekerjaan setelah pulang ke kampung?, Apakah yang menjadi persoalan di fikiran Cikgu Hasyim setelah mengetahui gadis misteri di hati Ariffin? ketahui sambungannya pada episod akan datang dan nantikan kupasan watak Hasnita dalam episod "Bila tuhan lebih menyayangimu" 


" P e n a n t i a n   y a n g   m e m b a h a g i a k a n " 
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ 
Sebuah kisah pengorbanan dalam kehidupan seorang insan..


"hidup ini bukan hanya besandarkan kepada cinta, dan cinta tidak hanya memiliki keindahan, pengorbanan memang memeritkan, kerana duka dan lara itu, satu diantara jalan-jalan kehidupan kita.."

0 comments:

Pengikut